Wednesday, October 8, 2008

Adakah Modal Perbankan Islam Haram ?

Petikan daripada artikel Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Dalam arus pesat pembangunan institusi-institusi kewangan Islam di Malaysia khususnya dan dunia amnya, terdapat beberapa isu yang masih lagi dipertikaikan oleh masyarakat yang mana ia perlu ditangani segera oleh para ilmuwan Islam (Ulama). Antara isu yang kerap ditimbulkan adalah berkenaan modal permulaan bagi bank-bank Islam dan syarikat-syarikat Takaful, terutamanya yang berasal daripada syarikat induk beroreintasikan konvensional. Saya kerap mendengar, ramai yang mempersoalkan "kesucian" modal bank-bank Islam dan Takaful untuk permulaan perniagaan Islam. Ini menyebabkan mereka kerap bertanya : adakah Bank-bank Islam dan Takafuk benar-benar bersih dengan modal yang kotor?

Respon ringkas yang dapat saya berikan tehadap soalan ini adalah seperti berikut:

a) Wang itu sendiri adalah "tidak haram" dalam bentuk fizikalnya tetapi menjadi "haram" disebabkan oleh jalan untuk memperolehinya yang haram (tidak selari dengan kehendak Syariat). (Ahkam al-Mal Al-Haram, Dr Abbas Al-Baz, hlm 265).

b) Modal dan keuntungan asal yang didapati oleh syarikat induk kepada bank Islam bukan kesemuanya berasal daripada perniagaan yang haram. Sebahagiannya adalah datang daripada individu-individu dan organisasi-organisasi kerajaan dan swasta. Justeru, wang modal dari sumber yang halal telah bercampur dengan haram. Walaubagaimanapun, perlu diketahui bahawa modal permulaan bagi bank-bank Islam dan Takaful telah disahkan bersih dan halal oleh syarikat induk.

Jika dilihat di sisi Shariah, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama, di mana majoriti ulama mazhab Hanafi, Ibn Qasim dari mazhab Maliki, mazhab Hanbali dan Ibn Taimiyah menetapkan bahawa adalah harus melakukan transaksi dengan pemilik modal yang bercampur antara halal dan haram jika majoriti modal itu datang daripada sumber yang halal.

Imam Ibn Nujaim pula berkata: "Apabila majoriti daripada jumlah modal atau pendapatannya adalah halal, maka tidak menjadi masalah untuk menerima hadiah dan makan hidangan mereka selama mana tiada sebarang tanda yang jelas menunjukkan ia adalah haram. Bagaimanapun, jika majoriti modal atau pendapatannya adalah haram, maka tidak dapat diterima hadiah dan makanan kecuali setelah disahkan kebersihannya(halal). (Rujuk Ibn Nujaim, Asybah wa An Nazair, hlm 125). Imam Ibn Quddamah pula berkata: "….Jika anda tahu (atau diberitahu oleh orang yang bercampur pendapatannya) bahawa sesuatu komoditi, barang atau makanan itu adalah daripada sumber/modal yang halal, maka ia adalah halal." (Al-Mughni, 4/334)

Ulama terkenal seperti Imam As-Syawkani dan Al-Muhasibi pula berpendapat bahawa adalah dibenarkan secara keseluruhan untuk bertransaksi dengan pemilik kepada pendapatan yang bercampur antara halal dan haram, sama ada bahagian yang halal dalam modal tersebut adalah majoriti atau minoriti. (Rujuk As-Saylur Jarar, 3/19; Al-Makasib wa al-Rizq al-Halal, ms 116).

Dalil-dalil mereka amat banyak, antaranya (rujuk as-Saylul Al-Jarar, As-Syawkani, 3/19) :-

a) Rasulullah SAW telah bertransaksi dengan para sahabatnya dari kalangan penduduk Mekah sebelum Hijrah, malah juga dengan sebahagian puak-puak Kafir. Tidak pernah di dengari sebarang tegahan Rasulullah SAW untuk berurusan dengan mereka, padahal kebanyakan harta mereka adalah dari sumber haram.
b) Telah sabit bahawa Rasulullah SAW pernah berurusan kewangan dengan rombongan ke Madinah dari kalangan arab badwi yang syirik tatkala itu. Sudah tentu harta mereka dipenuhi segala jenis hasil zalim dan haram.
c) Semasa Nabi SAW berhijrah, baginda berurusan dengan orang Yahudi dari kalangan penduduk Madinah dan arab-arab Badawi yang menghalalkan perkara-perkara haram di dalam Islam. Jika berurusan dengan mereka adalah haram, sudah tentu baginda akan menegah dari awal lagi.
d) Taqir (pengakuan) Nabi dengan membiarkan para sahabat berurusan kewangan dengan kelompok orang zalim juga adalah suatu dalil.
e) Jika Islam membenarkan berurusan dengan kafir yang bercampur haram dan halal hartanya, sudah tentu Islam juga membenarkan urusan kewangan dengan Muslim yang bercampur hartanya.
f) Para sahabat Nabi juga berurusan dengan perompak-perompak Madinah di zaman Yazid Bin Muawiyah, tiada di kalangan mereka yang mengharamkan. ( Ihya Ulumiddin, Al-Ghazzali, 2/164)
g) Jika muamalah seperti ini dihalang, sudah tentu keadaan yang amat sukar akan berlaku kerana di akhir zaman seperti ini, sememangnya amat sukar bagi mencari sesebuah syarikat yang 100 % halal pendapatannya ( Ahkam al-Mal Al-Haram, Dr Abbas, hlm253 )
Oleh yang demikian, adalah tidak benar untuk mengklasifikasikan keseluruhan modal bank-bank konvensional sebagai haram dan tidak boleh digunakan sebagai modal permulaan bank-bank Islam dan syarikat-syarikat Takaful. Tidak dinafikan bahawa adalah menjadi suatu keperluan yang besar bagi pihak bank untuk memastikan bahawa hanya bahagian yang halal sahaja digunakan dan diasingkan khas untuk penubuhan Bank Islam, Takaful atau bahagian perbankan Islamnya.

Akan tetapi, jika masih terdapat sebahagian kecil/minoriti modal yang haram daripada jumlah keseluruhan modal digunakan sebagai modal permulaan bagi bank Islam, saya berpendapat bahawa ia boleh dianggap sebagai Qard Hasan (pinjaman tanpa faedah) daripada syarikat induk konvensional kepada anak syarikatnya. Berikutan itu, bank Islam bolehlah membersihkan modal yang ragu tadi dengan membayar kembali pinjaman itu selain menggunakan sebahagian keuntungannya untuk didermakan.

Jika anda berpandangan bahawa semua cara di atas adalah tidak dibenarkan juga, maka bagaimana mungkin sebuah bank atau syarikat konvensional beralih kepada sistem Islam tanpa bantuan modal atau kewangan yang mencukupi. Oleh itu, selari dengan Maqasid Shariah, ia harus dibenarkan bagi membolehkan proses pertukaran sistem konvensional kepada sistem Islam dialkukan, walaupun pada permulaannya sebahagian daripada modal yang jelas haram terpaksa digunakan untuk tujuan itu.

Selain itu, Ulama silam juga telah membincangkan berkenaan hukum menggunakan keuntungan yang didapati dari perniagaan halal, bagaimanapun modalnya adalah wang curi atau haram. Dalam hal ini, Imam Malik, Imam As-Shafie, Imam Abu Yusof dan Sheikh Zufar Huzayl bersetuju bahawa pencuri tersebut berhak mendapat bahagian keuntungan daripada pelaburannya walaupun modal asalnya adalah haram, tetapi ia wajib memulangkan kembali wang yang dicuri (wang yang digunakan sebagai modal perniagaannya atau pelaburannya) kepada yang berhak. (Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusyd, 2/241; Rawdah at-Tolibin, An-Nawawi, 4/211; Al-Hawi, al-Mawardi, 7/337). Berdasarkan ijtihad ini, kita berpandangan bahawa bank Islam harus mengambil keuntungan daripada perniagaan/ pelaburan yang dijalankan walaupun pada modal yang digunakan untuk tujuan tersebut terdapat bahagian yang haram.

Isu ini harus difahami dengan jelas, terutamanya apabila kekeliruan mengenai perkara ini menyebabkan bank Islam dituduh sebagai tidak Islamik dan lebih buruk lagi, meletakkan bank Islam sama darjat dengan bank-bank konvensional.

Tuesday, October 7, 2008

Penyusunan Semula Aqad Muamalah Kewangan

Mohd Noor Omar
Pegawai Penyelidik
http://www.ikim.gov.my/v5/imagesweb/img/spacer.gif

Persoalan mengenai faedah, riba atau 'interest' dalam urusan kewangan menjadi mauduk perbincangan penting sejak berabad lamanya. Kegagalan memahami istilah dan penggunaan secara tepat boleh menyebabkan kepincangan dalam pengurusan kewangan dan ekonomi. Sejak penggunaan istilah yang saling berkongsi makna yang sama ini dan perkembangan muamalah kewangan Islami, kegiatan yang mempunyai faedah dielakkan ekoran dari pengharamannya. Kekaburan maksud sebenar riba dan pengabaian sudut etika pengurusan kewangan Islami boleh menyukarkan natijah syariat. Oleh itu, mengharuskan sesuatu amalan muamalah dengan tidak menggunakan aqad yang dinisbahkan kepada faedah tidak bermakna sesuatu muamalah itu menepati ajaran Islam.

Pengharaman riba ditemui sejak 2,000-1,400 S.M dalam tamadun keagamaan India. Begitu juga di dalam kitab Bible (Old Testament-Ezekiel), yang menganggap riba adalah jenayah setanding dengan kesalahan merogol, membunuh, mencuri dan syirik di kalangan kaum Yahudi tahun ke-6 S.M. Seterusnya, Kod Hammurabi mengawal amalan riba dengan mengenakan had tertentu ke atas pemberian pinjaman wang.

Plato dan Aristotle mengakui riba sebagai tidak bermoral dan tidak adil. Greek menjadi antara yang pertama menguatkuasakan kawalan kadar tertentu ke atas riba (800-600 S.M), diikuti oleh Rom (443 S.M) menetapkan kadar riba tidak boleh melebihi 8.33% dan kemudiannya dinaikkan kepada 12%. Pada kurun ke-7 Masihi, Al-Quran menegaskan pengharaman riba ke atas seluruh umat manusia dan mencela amalan ini.

Di Malaysia, amalan perbankan dan badan kewangan menetapkan kadar faedah kepada pinjaman kepada Kadar Asas Pinjaman (Base Lending Rate-BLR) yang pada ketika ini 6.8% manakala jendela kewangan dan perbankan Islam pula menutup terus amalan berunsurkan faedah ke atas pinjaman kecuali hanya membuka ruangan ke atas aqad 'jualbeli' (bay').

Perkembangan pemikir ekonomi moden seperti Adam Smith, Keynes dan Silvio Gesell, menyokong pencegahan amalan riba dengan memberi fikrah menghadkan kadar tertentu keharusannya. Ada juga ahli ekonomi sezaman mereka menganggap riba seperti penyakit kanser dalam masyarakat.

Melihat kepada pemikir Islam dan fatwa fiqh antarabangsa, pengenaan sebarang tambahan bayaran balik ke atas pinjaman wang yang melebihi jumlah yang dipinjamkan tanpa mengambilkira bentuk dan istilah yang digunakan adalah haram dan ditegah sama sekali.

Ada pihak yang memberi hujah bahawa pengharaman riba ini gagal mengambilkira unsur nilai kos melepas (opportunity cost) kepada peminjam dan kesan inflasi ke atas wang yang dipinjamkan. Prof. Erhun Kula membangkitkan perkara ini di dalam jurnal beliau namun bersetuju bahawa aqad yang berlandaskan jualbeli mempunyai nilai risiko dan pulangan (reward) usaha pemilik harta tersebut dan berhak menerima kadar pulangan tertentu. Beliau juga bersetuju bahawa pengenaan kadar faedah ke atas pinjaman boleh melumpuhkan ekonomi dan menekan golongan kurang berkemampuan. Bagaimanapun, kita perlu sedar bahawa tidak semua faedah itu riba (Prof. Murad Cizakca, 2006). Keadaan ini berlaku kerana kita gagal membezakan antara riba dan faedah (interest).

Faedah yang dikenakan ke atas wang yang berbeza jangkawaktu pertukaran atau pembayaran balik perlu mengambilkira faktor perkaitan masa (time preference). Unsur masa yang dimaksudkan adalah perkaitan di antara kejatuhan (atau kenaikan) nilai semasa matawang tersebut berbanding semasa aqad dibuat. Wang yang dimiliki sekarang lebih bernilai dari wang yang bakal diperolehi di masa hadapan. Dalam persoalan ini, mengikut pendapat As-Syaibani, sekiranya berlaku kejatuhan pada nilai matawang tertentu, kadar emas semasa aqad dibuat hendaklah dijadikan asas nilai pembayaran balik. Pendekatan ulama Islam dalam terhadap zakat fitrah dengan menggunakan wang (thaman bi al-nuqud al-Mithli) menggantikan nilai segantang beras adalah satu contoh tepat bagaimana kita perlu melihat wang hanyalah berperanan sebagai cara menyimpan nilai tersebut. Nilai wang bagi segantang beras berubah-ubah tertakluk kepada nilai harga semasa.

Muamalah semasa pengharaman riba dengan keadaan sekarang di mana wang fiat diperkenalkan (960-1279M oleh Dinasti Song di China dan kemudiannya negara-negara lain) adalah berbeza. Ketika pengharaman riba, emas dan perak dijadikan asas pengukuran harga/nilai. Maksud lebihan kepada pinjaman ialah lebihan yang dikenakan ke atas wang (emas atau perak) dari jumlah yang dipinjamkan.

Oleh itu, bagi memastikan keadilan kepada pemberi pinjaman dan juga peminjam, emas dan perak perlu dijadikan nilai asas kepada pinjaman. Pembayaran balik yang tidak melebihi sedikitpun nilai emas semasa perlu dikuatkuasakan supaya mengurangkan usaha menjuruterakan aqad pinjaman kepada jualbeli. Berlebihan berurusan dengan wang fiat dan berleluasanya riba dapat dilihat dalam masalah sub-prima yang menekan ekonomi dan bakal melumpuhkan Amerika Syarikat sekarang.

Di dalam Riba in Islam, Fiqh of Contemporary Issues-Mohammad Razi (May 2008) juga menyimpulkan bahawa riba dalam apa bentuk sekalipun ke atas pinjaman tidak boleh dan haram di sisi agama Islam. Dengan kata lain, mengambil pulangan secara melebihi dari pinjaman kepada orang lain tidak dibolehkan walaupun berbagai hujah lojik diberikan atau mendapat keredhaan pihak-pihak berkenaan.

Pengharaman riba adalah bertujuan untuk memberi keadilan dalam urusan kewangan dan mengelakkan dari berlakunya penindasan golongan kaya ke atas golongan yang miskin. Riba juga membuatkan orang yang miskin bertambah miskin manakala orang yang kaya tidak mahu berusaha memakmurkan sumber modal yang ada dengan hanya mengharapkan pulangan hasil dari tekanan kadar yang tinggi ke atas peminjam. Akibatnya, ekonomi akan mundur dan cenderung memusnahkan kemakmuran sesebuah negara.

Apa yang digalakkan oleh Islam adalah berniaga atau bermuamalah pertukaran berlandaskan keredhaan dengan jalan jualbeli atau pemakmuran ekonomi melalui perkongsian. Pengagihan kekayaan secara adil dan menggalakkan amalan bersedekah di samping menunaikan zakat ke atas pemilikan kekayaan tersebut. Agihan ini dapat dirasai oleh orang yang kurang berkemampuan manakala harta yang diperolehi dengan menepati kehendak syariah mendapat barakah seterusnya menambahkan lagi kemakmuran negara. Pulangan dengan hanya memberi pinjaman tanpa mengusahakan sesuatu kegiatan ekonomi dihapuskan.

Kecenderungan terkini yang ditakuti ialah terdapat pihak-pihak yang cuba menyembunyikan amalan riba di dalam aqad-aqad yang diberi istilah tertentu. Jelas kepada kita sekiranya kita menyebut jualbeli dalam sesebuah aqad, tidak semestinya muamalah tersebut jualbeli sekiranya tidak jelas atau aqad tersebut bukan jualbeli. Dengan hanya menggunakan istilah bay' tidak bermakna ianya tidak mengandungi riba sekiranya aqad tersebut adalah pinjaman.

Sekiranya kita lihat ayat ini, "Pinjaman peribadi berdasarkan kontrak jualbeli bay' inah, diluluskan oleh Penasihat Syariah". Bukankah pelik dan ganjil bunyinya. Sudah semestinyalah mereka ingin meminjam dan pinjaman tersebut yang biasanya untuk kegunaan peribadi dibuat dari mana-mana bank yang menawarkannya. Perkara ini jelas merupakan amalan riba sekiranya pembayaran balik melebihi jumlah pokok. Penggunaan perantara atau 'dummy' dalam aqad seperti lot tanah atau saham, tidak memberi apa-apa makna sebenarnya. Seterusnya, hujah kenapa kaedah pembayaran balik hanya dibuat melalui potongan gaji juga boleh dipersoalkan. Seterusnya, kajian lanjut boleh dibuat bagi mengetahui kesan amalan aqad-aqad seumpama ini terhadap kadar bankrupsi di Malaysia.

Aqad-aqad seperti Bay' Inah, Murabahah, Bai' Bi thamanil Ajil (BBA) dan tawarru' yang ada di Malaysia boleh dikategorikan sebagai mencurigakan. Aqad-aqad ini tidak lain dari menjuruterakan aqad jualbeli bagi mengharuskan pinjaman berdasarkan faedah.

Di dalam sebuah hadith, diriwayatkan bahawa Allah mencela pemberi, penerima, penulis dan orang yang menyaksikan amalan riba. Kerelaan pihak-pihak terbabit tidak boleh dijadikan alasan mengharuskan satu larangan. Sekiranya kerelaan boleh digunakan, maka akan berlaku maksiat penzinaan berleluasa kerana masing-masing rela dan kerelaan mereka telah membelakangkan syariat pengharaman zina itu sendiri.

Seperkara lagi yang jelas dari segi amalannya, tidak kira sama ada institusi tersebut dinisbahkan sebagai badan islami atau tidak, sekiranya mereka memberi pinjaman atau melaksanakan aqad muamalah, kebergantungan kepada BLR masih tidak dapat dielakkan. BLR digunakan sebagai asas kepada kadar keuntungan aqad yang digunakan dan amalan riba dibenarkan berlaku.

Keruncingan pengurusan kewangan dan ekonomi kebelakangan ini akibat ketidaktentuan naik turun nilainya, perlu dilihat sebagai desakan yang menuntut kita menakrifkan semula riba, faedah, wang, harga dan etika pengurusan kewangan serta menyusun semula tatacara pentadbiran kewangan menyeluruh. Masalah sub-prima yang dihadapi oleh Amerika Syarikat sekarang yang bakal melumpuhkan ekonomi negara itu mungkin boleh dijadikan pengajaran betapa kesan kegagalan memahami kaedah pengurusan kewangan dan ekonomi selari kehendak syariah mengancam kestabilan ekonomi sesebuah negara

Monday, October 6, 2008

Di mana saya boleh melabur?

Oleh Datin Mariam Yusof


Banyak orang tahu bagaimana hendak mencari wang tetapi tidak tahu cara untuk mengembangkannya. Sering dikatakan, orang kaya semakin kaya, orang miskin semakin miskin. Sebabnya ialah, orang kaya melaburkan wang mereka, menjadikan wang itu berkembang, sementara orang miskin pula menghabiskan wang dengan membelanjakannya.

Lazimnya ada empat cara untuk membina kekayaan setelah anda menyimpan cukup wang:

1.

Kumpul barang yang nilainya akan naik.

2.

Beli harta tanah. Membeli rumah sebagai tempat tinggal adalah pelaburan tetapi, membeli lebih banyak rumah membolehkan anda memperoleh pendapatan daripada sewaan.

3.

Beli saham dan bon.

4.

Mulakan perniagaan jika anda mempunyai kemahiran keusahawanan. Anda mungkin membuat kesilapan tetapi belajarlah daripada kesilapan itu, bekerja keras dan jika perniagaan anda berjaya, anda mendapat pulangan yang lebih banyak.

Definisi Pelaburan
“Pelaburan ialah tindakan meletakkan dana bagi satu tempoh untuk memperoleh kadar pulangan yang dikehendaki, dengan menyedari sepenuhnya mengenai risiko yang terbabit. Perkara yang perlu diingat ialah walaupun kadar pulangan boleh dijangka, ia tidak terjamin.”

Terdapat jenis-jenis pelaburan yang berbeza, bergantung kepada toleransi risiko anda.

ASN/ASB
Sebelum anda mula membeli rumah atau kereta atau mempertimbangkan mana-mana pelaburan lain, ambil langkah pertama dengan melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Nasional (ASN) kerana kerajaan menjamin dana ini dan sering memberi dividen yang lebih tinggi berbanding pasaran saham. Tidak ada di dunia ini kerajaan yang menawarkan produk pelaburan yang selamat seperti ini.

Pembayaran ASN/ASB

PRESTASI LEPAS

1998

1999

2000

2001

ASN

Pengagihan bersih per unit (sen)

6.50

8.25

8.00

5.00

ASB

Pengagihan bersih per unit (sen)

8.00

10.50

9.75

7.00

Bonus per unit (sen)

2.50

1.50

2.00

3.00

Matlamat Kewangan dan Toleransi Risiko
Pertama sekali anda perlu menentukan matlamat kewangan anda. Adakah anda menabung untuk dana pendidikan anak? Adakah anda menabung untuk persaraan? Atau adakah anda mempunyai wang lebih dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan dengan wang tersebut? Jawapan bagi soalan-soalan ini akan menentukan berapa banyak risiko yang boleh anda tanggung. Kemudian, buat keputusan di mana anda hendak melaburkan wang anda.

Pasaran Modal
Pasaran modal terdiri daripada pasaran ekuiti saham dan instrumen pendapatan tetap atau bon. Ia juga mempunyai pasaran derivatif yang terdiri daripada niaga hadapan, opsyen, swap dan lain-lain. Jangan takut pada semua ini, sebaliknya baca dan tanya soalan untuk mengetahui lebih mendalam tentang produk yang ditawarkan dalam pasaran.

Pasaran Saham
Pasaran saham ialah pasaran yang menyediakan alternatif kepada syarikat untuk menjana modal bagi mengembangkan perniagaan mereka. Ia juga tempat pelabur melaburkan wang mereka dengan membeli saham syarikat awam tersenarai. Dengan membeli saham, anda membeli hak milik aset syarikat. Anda juga menjadi pemegang saham dan mempunyai hak kepada dividen apabila ia diisytiharkan serta mengundi dalam mesyuarat agung.

Saham memperoleh pulangan melalui dua cara:

1.

Untung modal iaitu perbezaan antara harga belian dan harga jualan.

2.

Dividen interim dan akhir seperti yang diisytiharkan oleh syarikat.

Untuk melabur dalam saham, anda tidak perlu terlalu bijak. Anda perlu membuat penyelidikan, dan berdisiplin dalam melakukannya. Anda boleh mendapat banyak maklumat daripada broker saham, BSKL, malah daripada berita kewangan dalam akhbar harian. Terdapat maklumat percuma atau pada harga murah yang mencukupi untuk digunakan dalam membuat keputusan berdasarkan maklumat.

Terdapat dua cara melabur dalam pasaran saham.

1.

Analisis fundamental melihat kepada fundamental kualitatif dan kuantitatif syarikat, penyata kewangan syarikat, ekonomi negara dan situasi politik.

2.

Analisis teknikal mengkaji pergerakan harga menggunakan carta untuk meramal pergerakan harga masa hadapan.

Pegangan asas dalam melabur dalam pasaran saham ialah “Beli pada harga rendah, jual pada harga tinggi.” Anda juga perlu mempunyai pendekatan sistematik dan belajar mengurangkan kerugian. Sesetengah orang terus memegang saham mereka kerana percaya bahawa harga akhirnya akan naik – mungkin juga harga saham itu tidak akan naik dan selepas 10 tahun, anda mungkin masih memegang saham yang telah jatuh jauh di bawah harga belian. Apabila saham anda jatuh harga, hentikan kerugian dan jual kesemuanya.

Prestasi pasaran saham ialah hasil beberapa faktor yang boleh mempengaruhi harga saham. Faktor-faktor tersebut termasuk:

Persekitaran ekonomi dan politik

Dasar monetari

Pergerakan kadar pertukaran

Kadar faedah

Ekonomi global dan perkembangan politik.

Kategori Saham
Ini ialah cara broker saham secara umumnya mengkategorikan jenis saham yang berbeza.

Saham mewah ialah saham syarikat dengan rekod prestasi pendapatan tinggi dan dividen baik yang tidak terjejas. Syarikat ini mempunyai asas yang kukuh, memberi dividen yang baik (5-8%) dan mempunyai perniagaan yang stabil.

Sebaliknya saham yang terakhir sekali ialah third liners iaitu syarikat dengan asas yang lemah.

Second liners ialah saham yang kedudukannya antara saham mewah dengan third liners.

Saham pertumbuhan ialah saham syarikat yang memberikan pertumbuhan yang tinggi. Syarikat ini mengekalkan perolehan untuk terus mengembangkan perniagaan dan oleh itu biasanya memberikan dividen yang rendah. Tetapi syarikat sepatutnya memberi perolehan modal tinggi kerana harga saham mereka naik bersama-sama perniagaan.

Saham kitar ialah saham yang bergantung kepada kitaran ekonomi. Sebagai contoh, industri berat dan keluli yang lazimnya berprestasi baik apabila berlaku pengembangan ekonomi, dan merosot apabila keadaan ekonomi teruk. Prestasi syarikat seperti ini bergantung kepada kitaran perniagaan.

Saham pendapatan membayar dividen yang tinggi dan lumayan, misalnya syarikat rokok.

Saham bertahan adalah baik untuk pelaburan apabila prospek ekonomi menjadi suram. Ini ialah saham yang paling kurang dipengaruhi oleh kemerosotan ekonomi, umpamanya syarikat perniagaan makanan dan barang pengguna. Ia merupakan saham dengan pendapatan masa hadapan yang dapat bertahan dengan kemerosotan ekonomi.

Kategori Pelabur
Sama seperti jenis saham yang berbeza, jenis pelabur juga berbeza. Ada pelabur institusi yang kebanyakannya ialah dana pesara, insurans dan unit amanah. Terdapat juga pelabur runcit iaitu pelabur individu yang melabur dalam pasaran modal, dan di Malaysia, pelabur runcit terdiri daripada 60-70% dan oleh itu mempunyai pengaruh yang kuat dalam pasaran.

Sunday, October 5, 2008

Perbankan Islam Zalim Kerana Mahal?

Saya telah menjelaskan beberapa proses mengawal selia dan mematuhi Shariah di bank-bank Islam di dalam bab yang lepas. Bagaimanapun, saya tidak menafikan masih terdapat kemungkinan bank-bank Islam diseluruh dunia ataupun jendala perbankan Islam di bank konvensional yang tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap proses itu. Justeru itu, menjadi tanggungjawab anggota majlis pengawasan Shariah setiap bank bagi bersikap lebih tegas, proaktif dan bersungguh-sungguh terhadap operasi bank yang diselia mereka.

Masih segar di ingatan saya, pemuda mendekati saya lalu bertanya dengan soalan yang popular didengari.

” Mengapa bank Islam lebih mahal daripada yang riba? “dan saya bertanya apakah yang menyebabkan ia membuat kesimpulan seperti itu.

Lalu dengan tegas si pemuda ini menjawab: “Sebagai contoh. “katanya dengan yakin, “Ibu saya mengatakan membiayai perumahan bank Islam jauh lebih tinggi daripada perbankan konvensional, apa pandangan ustaz? “katanya sambil membulatkan matanya ke arah saya.

Saya bertanya kembali. “Bagaimana cara ibu saudara mengira sehingga dapat jumlah itu? “kata saya, “Adakah saudara tahu berapa kadar keuntungan yang dikenakan oleh bank Islam dan berapa pula, yang dikenakan oleh Konvensional?” tanya saya lagi.

Pemuda itu menjawab: “Bank Islam ini mengenakan kadar 7.60% setahun bagi tahun ke-tiga sehingga tiga puluh, manakala bank konvensional hanya mengenakan 6.75%, tambahan pula, bank Islam kena bayar RM1050 sebulan, bank konvensional hanya RM850 sahaja” katanya memberi contoh dengan yakin.

Teknik Yang Tidak Disedari

Ini antara bentuk kekeliruan yang menjalar kalangan orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan perbankan Islam di ketika ini.

Mereka tidak dapat memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Bayangkan, perbankan Islam hanya mengenakan 7.60% (tahun ke-3 sehingga 30 sebagai contoh), ini bermakna kadar ini tidak akan bergerak hinggalah 30 tahun itu, bukankah bank Islam menanggung risiko yang besar?

Manakala apabila dilihat kepada pinjaman perumahan oleh produk konvensional, hampir kesemuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar peratusan BLR (Base Lending Rate ) atau Kadar Pinjaman Asas yang tidak tetap serta dicampur dengan 0.25% sebagai contoh.

Bagaimana apabila peratusan BLR melambung tinggi seperti 10% seperti yang berlaku ketika krisis ekonomi? Bukankah ketika itu, kadar interest yang perlu dibayar oleh pelanggan juga amat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam pengamalan bank Islam kerana di awal kontrak lagi menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam bermurah hati memberikan rebate (ibra’) apabila pihak pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal ‘early settlement’. Perlu dingat BLR naik beberapa kali sepanjang tahun lepas dan tahun ini dari 6% sehingga 6.75%. Ia juga boleh melonjak lagi mengikut keadaan ekonomi.

Image Hosting by Picoodle.com

Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi bagi dibayar oleh pelanggan adalah kenyataan yang kurang tepat dan boleh dipertikai.

Malah apabila dilihat kepada kadar membiayai yang dikenakan oleh perbankan Islam bagi produk-produk membiayai perniagaan juga membuktikan kadar adalah setara seperti ditawarkan oleh bank konvensional malah lebih murah dalam banyak keadaan. Hal ini sukar didedahkan kerana kadar membiayai syarikat berubah-ubah bergantung kepada tiga hal terpenting:

a) Kadar mengurus minima (cost of fund ) bank islam itu.

b) Prestasi dan kekuatan organisasi yang memohon pembiayaan.

c) Potensi and risiko perniagaan yang ingin diceburi.

Semua yang disebut di atas mempengaruhi kadar yang dikenakan kepada pemohon. Saya sedar, walaupun saya menerangkan fakta di atas terdapat orang ramai yang mula menyebut:

Zalim?

“Jadi mengapa hanya setanding dengan konvensional? Kami ingin kamu menjadi lebih murah.”

“Bukankah bank Islam ini patutnya ‘maqasid’ (objektif Shariah) adalah membantu umat Islam, lalu kenapa mahal? ” tanya pelajar sarjana IPTA kepada saya.

Ketika itu, saya memberikan ceramah khas berkenaan produk perbankan Islam di sana, turut hadir adalah ketua jabatan fakulti Shariahnya. Lalu saya melihat kepada professor itu dan bertanya.

“Professor, berapakah yuran yang dikenakan apabila saya ingin mengambil PhD dalam bidang Fiqh Islam dan Perbankan Islam.”

“Lebih kurang RM13,000″ katanya.

“Mengapa begitu tinggi Professor, kenapa tidak yurannya hanya RM 2000 sahaja?” tanya saya menguji.

“Mana boleh, macam mana nak bayar gaji pensyarah kalau begitu” tegas Professor tersebut.

Demikian dapat saya simpulkan hal di perbankan Islam juga, harga yang ditawarkan adalah menurut kemampuan dan keperluan pasaran. Perlu difahami Islam menjaga hak penjual dan pembeli secara adil. Bukan hanya hak pembeli sahaja yang perlu dijaga.

Adalah dikira kezaliman pada kita sebenarnya, apabila kita mengutuk kedai nasi lemak seorang islam kerana menjual nasi lemak dengan harga RM2.00, dalam keadaan kedai bukan Islam menjual pada harga yang sama ataupun lebih murah sedikit. Padahal, si Muslim menjual dengan kadar harga yang ia mampu tawarkan dan halal.

Jual 2 Kali Ganda Harga Modal Tidak Zalim?

Ada yang merungut dengan mengatakan bahawa bank-bank Islam zalim kerana harga aset yang dijualnya kepada pelanggan adalah dengan 100% keuntungan nescaya ia haram?.

Jawapan saya, tidak sama sekali, selagi ia diterima oleh harga pasaran. Buktinya adalah dari hadith Nabi SAW :-

Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW memberi ‘Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia dating bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung” ( Riwayat Al-Bukhari, no 3642 )

Hadith ini menunjukkan bagaimana sahabat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar, bermakna 1/2 dinar seekor, dan kemudian menjualnya degan harga 100% keuntungan iaitu 1 dinar seekor. Transaksi ini diiktiraf oleh nabi malah dipuji dan didoakannya.

Justeru, tindakan bank-bank Islam yang menjual rumah atau asset kepada pelanggan yang dibelinya dengan harga 100 % lebih dari harga asal adalah halal selagi mana pasaran dapat menerimanya.

Kunci Memahami

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan hal ini pembaca perlu memahami fakta berikut :-

a) Bank-bank Islam adalah merupakan syarikat-syarikat berlesen dan berdaftar yang juga mensasarkan keuntungan supaya organisasi maju ke hadapan. Bagi mencapai sasaran itu, perbankan Islam menawarkan khidmat kewangan menurut Islam melalui produk-produknya yang diiktiraf Shariah. Ia bukannya badan kebajikan yang menawarkan khidmat secara percuma.

b) Bank-bank Islam juga mempunyai pelabur-pelabur yang mengharapkan pulangan yang baik hasil pelaburannya, dan ia bukannya wang subsidi yang diberi secara percuma. Saya yakin, apabila anda menjadi salah seorang daripada pemegang saham utama di bank Islam, adakah anda dengan mudah merelakan keuntungan yang diraih berkurangan semata-mata kerana ingin membantu umat Islam?. Jawabnya, ia tertakluk kepada iman pemegang saham itu. Hasilnya, apabila anda merungut ianya mahal, berusahalah supaya anda menjadi salah seorang pemegang saham dan mampu rendahkan harga bank yang anda miliki. Ini amat terpuji dan yang amat saya galakkan secara peribadi.

c) Bank-bank Islam juga mempunyai para kakitangan yang perlu di bayar gaji selaras dengan nilai pasaran. Keuntungan adalah amat penting bagi menjamin kakitangan yang berkualiti dapat dikekalkan bagi mengurus bank secara efektif dan kompetetif.

d) Bank-bank Islam juga perlu membayar kos operasi bangunannya dan peralatan-peralatannya. Justeru itu, apabila khidmat yang ditawarkan adalah percuma dan amat murah, bagaimana mungkin sebuah bank Islam mampu terus berkembang.

Selepas memahami empat fakta di atas, cuba fahami fakta berikut pula:

a) Apabila anda mengatakan, perbankan Islam sepatutnya sentiasa lebih murah berbanding konvensional kerana ia membantu orang ramai terutamanya orang Islam. Anda perlu menyedari kebajikan dan kepentingan bank juga perlu dijaga supaya mampu terus menerus membantu segenap lapisan masyarakat. Nabi tidak membenarkan kawalan harga dibuat oleh kerajaan pada masa yang tidak terdesak. Nabi juga menolak permintaan sahabat baginda untuk melakukan ‘ceilin’ harga di ketika pasaran tidak diserapi unsur zalim oleh peniaga. Sebagaimana respon dan jawapan nabi SAW kepada sahabat baginda :

Ertinya : Bahkan Allah SWT adalah yang menaik dan menurunkan harga, dan sesungguhnya akhu berharap untuk bertemu Allah dan tiada seorang pun dari kalangan kamu menuntut dariku akibat sebarang kezaliman ( yang aku lakukan) samada berkaitan darah atau harta” ( Riwayat Abu Daud ; hlm 385 ; Al-Bayhaqi, 6/29 ; Sohih menurut Albani)

Ia adalah kerana Nabi tidak mahu menghadkan hak peniaga bagi mendapat keuntungan. Justeru itu, selagi mana ruang keuntungan masih berada di paras pasaran adalah dibenarkan.

b) Apabila anda mengatakan, perbankan Islam sepatutnya membantu orang-orang yang susah dan bukan semakin menyukarkan mereka. Maka anda perlu memahami apabila bank Islam itu memperolehi keuntungan, ia akan mengeluarkan zakat bagi asnaf (kumpulan) yang layak menurut Shariah. Malah selain itu, bank-bank Islam juga mempunyai peruntukan >http://youthsays.com/badges/2" href="http://youthsays.com/badges/2" class="highlight">sumbangan kebajikan yang diberikan menurut keadaan. Bukankah itu juga membantu individu yang susah dan memerlukan.

Ini jelas, kerana orang yang benar-benar susah tidak akan mampu mendekati bank dan mengajukan permohonan. Maka sesiapa yang diluluskan permohonannya oleh bank-bank Islam sebenarnya adalah orang yang agak senang. Justeru itu, bukankah amat baik apabila zakat yang dikeluarkan oleh bank disalurkan kepada orang yang benar-benar susah berbanding yang sederhana susah. Kita perlu mengetahui jumlah peruntukan zakat yang sediakan oleh bank-bank Islam dan jendela “windows” perbankan Islam bagi tahun kewangan 2005 sebagai contoh adalah seperti berikut:

RHB ISLAMIC Bank: RM920 ribu, HSBC Amanah: RM49 ribu, Maybank “Islamic windows”: RM1.172 juta ; Public Bank “Islamic windows”: RM55 ribu, Hong Leong Islamic: RM45 ribu.

Merujuk kepada laporan setiap bank berkenaan bagi tahun kewangan 2005. Bukankah ini benar-benar membantu orang yang susah sebagaimana yang diinginkan?

c) Keuntungan baik yang diperolehi bank-bank Islam juga membolehkan bank ini meluaskan lagi jangkauan operasinya, selain memantapkan lagi keuntungan akan datangnya. Ia adalah amat baik kerana bakal menghasilkan lebih banyak peluang kerjaya baru bagi individu Muslim di perbankan konvensional yang ingin berhijrah ke perbankan Islam, ia juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan buat rakyat sekaligus membantu mereka. Malangnya, ramai yang suka menyempitkanfikiran mereka dengan hanya melihat kepada kadar-kadar membiayai sahaja.

d) Adakah anda menyedari? Apabila bank mendapat keuntungan yang baik, maka ia juga menghasilkan kadar pulangan yang tinggi bagi penyimpan-penyimpan di akaun Islam sebagai contoh Akaun Mudharabah. Individu yang menyimpan akan mendapat pulangan yang lebih besar. Demikian juga penyimpan yang menyimpan dalam Akaun Simpanan Wadiah. Mereka juga berpeluang mendapat pulangan ‘hibah’ yang menarik. Ia juga satu lagi bentuk bantuan tetapi tidak disedari oleh orang yang merungut ini.

Adakah fakta ini mencukupi? Saya akan memberi jawapan memahamkan rakyat Malaysia.

1) Nilai yang halal adalah tidak ternilai.

Seorang usahawan Malaysia memberitahu saya pengalamannya di London, harga ayam yang disembelih jauh lebih mahal daripada ayam yang tidak disembelih. Bagaimanapun, umat Islam tetap terpaksa membeli ayam yang mahal tadi demi memastikan makanannya halal walaupun ia lebih mahal.

Bagaimana apabila individu mengatakan produk bank Islam lebih mahal. Majlis Penasihat Shariah masing-masing mengesahkan produk yang halal berbanding produk-produk yang tidak disahkan Shariah.

Fenomena yang agak ganjil berlaku hari ini adalah orang Islam mengambil berat makanan yang dicampur dengan ayam tidak sembelih dan sebagainya, tetapi sering melupakan riba diharamkan. Ia adalah jauh lebih berat daripada memakan ayam bangkai ataupun khinzir.

Allah SWT berfirman :-

Ertinya : Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan” ( Al-Kahfi : 46 )

Ayat surah Kahfi menurut Syeikh Ibn Asyur mengingatkan kita betapa perlunya kita menyedari amal soleh dan keberkatan adalah lebih perlu diutamakan dari harta banyak tanpa halal. Jadi dalam konteks ini, walaupun anda mendapat harga rendah di bank konvensional. ia bukanlah amal soleh kerana ia adalah Riba yang haram.

Malangnya umat Islam, bila bercerita berkenaan perbankan Islam yang halal, yang paling disibukkan adalah kadarnya yang lebih mahal dari konvensional kononnya. Tidak terlihat langsung elemen HALAL dan HARAM dalam mindanya. Padahal, menggagahkan diri menggunakan perbankan Islam walaupun sedikit lebih mahal merupakan satu amal soleh yang amat terpuji dan itulah yang dilihat oleh Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas.

Ini lah bukti, umat Islam sudah semakin hilang sensitiviti kepada alam barzakh dan akhiratnya. Padahal, tiada yang lebih zalim dari bank yang menyediakan perkhidmatan haram Riba, semurah manapun mereka. Kerana ia tetapi haram dan amat zalim menurut hak Allah SWT.

2) Kos tambahan bagi khidmat profesional pengesahan Shariah.

Apabila dilihat daripada perspektif perniagaan dan logik pula. Pengesahan Shariah amat diperlukan dalam semua produk, aktiviti pelaburan dan pembiayaan bank Islam. Justeru itu, keadaan ini dianggap sebagai satu proses menambah piawaian profesional yang pastinya memerlukan kos masa, tenaga dan kepakaran tambahan. Keadaan ini sekali lagi menyebabkan semua produk yang ditawarkan bank Islam adalah unik, istimewa dan melalui proses ‘Shariah Screening’, yang lebih unik dan berkualti mempunyai nilai pasaran yang sedikit berbeza.

3) Bank-bank Islam adalah pemain-pemain kecil yang sedang meningkat naik.

Ini ternyata daripada statistik yang dikeluarkan oleh Laporan bank Negara Malaysia Tahun 2005 melaporkan aset semua bank-bank Islam dan jendela perbankan Islam di Malaysia sebanyak RM111.8 billion dan ia hanya merupakan 11.6% daripada keseluruhan aset bank di Malaysia. Ini bermakna, bank konvensional masih menguasai industri perbankan dengan cukup jauh sekali. Bagaimanapun, kita bersyukur kerana prestasi perbankan Islam mencatatkan pertumbuhan sebanyak 17.7% berbanding tahun 2004.

Jumlah Keseluruhan Asset Bank di Malaysia Menurut Ranking Pada 30 Jun 06

Maybank : RM 224 Billion

CIMB Group : RM 154 Billion

Public Bank : RM 135 Billion

RHB Capital : RM 96 Billion

AMMB Holdings : RM 72 Billion

Hong Leong : RM 61 Billion

EON Capital : RM 38 Billion

Affin Holdings : RM 35 Billion

Bank Islam Malaysia Berhad : RM 18 Billion

Sumber : NST, 26 Nov 06

Maka, sebagai pemain-pemain kecil yang sedang naik, kadangkala harga yang ditawarkan mungkin lebih tinggi sedikit berbanding pemain-pemain besar. Ia dianggap seperti harga barangan yang ditawarkan di kedai runcit dibandingkan dengan harga di hypermarket.

Individu memahami bank konvensional yang mempunyai aset besar sekitar RM150 billion (sebagai contoh), apabila ia menghadapi hutang tidak berbayar (non performing loan) daripada peminjamnya berjumlah RM150 juta, kedudukan bank itu masih tidak tergugat. Bagaimanapun, sekiranya bank Islam dengan asetnya berjumlah RM8 billion (seperti RHB Islamic Bank pada tahun 2006), apabila ia mempunyai jumlah nilai hutang tidak berbayar dalam jumlah yang sama (RM150 juta), sudah tentu ia akan memberikan kesan yang besar kepada jangka hayat bank Islam itu.

Kesimpulannya, bank-bank Islam serta kaunter / jendela “windows” Islam hari ini perlu diberi lebih sokongan oleh semua rakyat demi memampukan ia mencapai tahap yang di gariskan kerajaan (iaitu 20% aset perbankan Islam berbanding konvensional), malah mengatasinya. Apabila hari ini kita sanggup berkorban sedikit demi memajukan bank-bank Islam, nescaya sudah pasti generasi akan datang mampu melihat dan menikmati kadar yang sangat hebat serta halal daripada institusi kewangan Islam dan produk-produk Islam.

Saya secara peribadi juga amat mengharapkan agar kadar pembiayaan yang dikenakan oleh Bank-bank islam boleh lebih murah dari sekarang, bagaimanapun saya tidak dapat menyembunyikan syukur saya, kewujudan mereka ini pun adalah satu nilai yang besar buat umat Islam kerana dengannya dapat kita mengelakkan pembelian rumah dan lain-lain dari terjebak dengan Riba.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Kewangan dan Anda

Kewangan menuntut dan mengemukakan cara-cara dalam mana individu, perniagaan, dan kenaikan pertubuhan-pertubuhan, peruntukan, dan menggunakan sumber kewangan sepanjang masa, mengambil penting risiko-risiko yang dihadapi dalam melaksanakan projek. Kewangan adalah digunakan oleh individu (kewangan peribadi), oleh kerajaan (kewangan awam), oleh perniagaan (kewangan syarikat), dan sebagainya, serta oleh pelbagai organisasi termasuk sekolah-sekolah dan pertubuhan-pertubuhan bukan berasaskan keuntungan. Kewangan adalah satu aspek terpenting pengurusan perniagaan dan sekarang ini penting juga buat individu-individu kesemuanya dalam menangani kewangan peribadi mereka.

Pengurusan kewangan adalah merupakan langkah pertama yang WAJIB anda kuasai jika anda mahu menjadi kaya. Pengurusan kewangan peribadi bukan lagi satu pilihan tetapi ianya satu keutamaan dalam hidup yang mesti anda kuasai. Pengurusan Kewangan Perancangan mencerminkan usaha yang melibatkan disiplin-disiplintertentu, untuk mengurus dengan baik, sumber-sumber pendapatan, sertaaset, seseorang itu, supaya setiap perbelanjaan yang dibuatmendatangkan faedah / manfaat yang optima, dan dapat memungkinkantabungan dan pelaburan yang boleh pula menjamin pendapatan di masahadapan. Pengurusan kewangan adalah bermaksud menguruskan duit gaji anda setiap bulan, kenapa mesti anda setiap bulan habis duit gaji anda membayar pelbagai tanggungan dan belum akhir bulan hampir tiada sesen pun duit pada anda dan lebih menyedihkan lagi ada yang negatif duit setiap bulan dan memaksa penggunaan kad kredit dan pinjaman. Pengurusan wang yang baik diperlukan oleh setiap orang, terutama bagi mereka yang sudah berumah tangga.

Wang yang digunakan untuk membayar hutang juga perlu halal sumbernya, jangan disebabkan ingin lepaskan bebanan hutang maka sumber yang tidak halal dijadikan penyelesaian. Wang hanya menjadi tempat persinggahan dalam hidup kita yang akhirnya keluar begitu sahaja. Wang itu hanta untuk persaraan sahaja, bagaimana untuk keperluan yang lain-lain.

Wang yang didapati daripada titik peluh seseorang bukan hanya untuk dibelanja dan dihabiskan. Wang-wang yang diperolehi hasil daripada perniagaan, bolehlah dilaburkan ke tempat-tempat yang dapat memberikan pulangan yang memberangsakan seperti, pelaburan ke dalam unit amanah, saham, hartanah dan juga perniagaan. Wang perlu diuruskan dengan baik kerana ia boleh menghasilkan lebih banyak wang.

Pelaburan juga perlu bagi mengekalkan kekayaan anda, tanpanya bagaimana anda boleh mengekalkan harta dan nilai harta anda masa depan tanpa pelaburan. Pelaburan jangka panjang sebegini sangat sesuai untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Pelaburan ialah tindakan meletakkan wang/dana bagi satu tempoh tertentu untuk memperolehi kadar pulangan yang dikehendaki. Pelaburan hartanah juga sama penting dengan simpanan tunai dan tiada nilai susut.

Wang merupakan satu alat untuk meneruskan kehidupan, keperluannya hampir sama dengan udara dan tanpa wang kita kita mampu untuk mendapatkan sumber makanan untuk hidup. Pengurusan Kewangan Adalah amat penting bagi setiap individu mendisiplinkan diri, mengurusi dengan baik segala sumber pendaptan dan aset supaya setiap pelaburan dan perbelanjaan mendatangkan manfaat dan faedah yang optima serta boleh menjamin masa hadapan. Pengurusan kewangan yang bijaksana, cekap, fleksibal dan amanah merupakan pra syarat bagi menjamin kedudukan kewangan yang kukuh.

Pengurusan wang simpanan yang terbaik ialah mengeluarkannya hanya untuk tujuan seperti kecemasan, pelajaran dan kegunaan di masa hadapan (pembelian rumah atau pun perkahwinan). Pendidikan Kewangan Program pendidikan disasarkan pada kumpulan atau individu tertentu berhubung dengan penggunaan kredit pengguna yang wajar dan kemahiran asas pengurusan wang seperti simpanan dan membuat belanjawan serta tip untuk menggunakan kredit secara yang bertanggungjawab dan pengurusan hutang. Pengurusan kewangan yang baik dalam sesebuah institusi juga membolehkan perancangan lebih sempurna untuk pembesaran dan pelbagaian operasi, dan untuk apa jua aktiviti di masa hadapan.


Artikel oleh Melayu.sg ©2007 melayu.sg